Monday, September 28, 2009

Sempena Hari Jantung Sedunia.

Mukaddimah
Hari ahad minggu ke3 setiap September diwartakan sebagai Hari Jantung Sedunia, untuk tahun ini 2009, 200909 adalah tarikh yang tepat berdasarkan ahad minggu ketiga, sungguhpun begitu ada juga pendapat mengatakan 26 September, disamping itu ada juga yang mewar-warkan 3 Oktober adalah tarikh sambutan, namun begitu tak kisah bila tarikhnya, yang penting kesihatan jantung perlu dijaga demi untuk mengecapi hidup yang sihat dan bahagia.

Penyakit jantung adalah penyumbang utama kematian manusia didunia, mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bahawa penyakit kardiovaskular terutama Penyakit Jantung Iskemia dan Angin Ahmar (Stroke) dengan setiap satu daripada tiga kematian adalah disebabkan olehnya. Adalah dianggarkan ia menyumbang kepada 17 juta kematian setahun iaitu 20 kali lebih tinggi daripada kematian yang disebabkan oleh peperangan dan keganasan.

Antara kes-kes kematian berkaitan penyakit jantung adalah kematian Raja Pop Dunia Michael Jackson, kes domestik adalah kematian mengejut vokalis Rabbani, Ustaz Asri Ibrahim dan yang terbaru pada Aidilfitri baru-baru ini aku kehilangan seorang sahabat sekerja suatu ketika dulu pada usia 45 tahun disebabkan juga masalah jantung. Begitulah bertapa dekatnya, bertapa sinonimnya penyakit ini dengan manusia zaman moden ini.

Kenali Jantung Anda.
Jantung bebentuk seperti buah pear. Berat jantung adalah antara 350 gram hingga 450 gram bagi orang dewasa.

Ia berdenyut lebih kurang 70 kali dalam 1 minit, bermakna dalam 1 jam ia akan berdenyut 4,200 kali, dlam 1 hari 100,800 kali dan dalam 1 tahun akan berdenyut 36,792,000 kali, Jika umur manusia 60 tahun bermakna jantung yang " Ajaib " ini akan berdenyut 20,207,000,00 kali tanpa berhenti.
Jantung manusia akan megepam 22,00 gelen darah setiap hari, bermakna ia akan mengepam 8,030,000 gelen dalan setahun, dan 481,800,000 gelen dalam pertengahan umur 60 tahun iaitu menyamai 345,000 tan.

Jantung bekerja secara automatik melalui kumpulan sel yang istimewa, jantung mempunyai perentak jantung yang natural yang akan mengawal denyutan jantung.

Beberapa sel otot yang istimewa bertindak sebagai jalur seperti sirkuit elektrik.
Signal daripada perentak jantung dialirkan ke otot jantung secara teratur.

Injap jantung memisahkan berbagai laluan dan pembuluh darah yang besar. Dia bertindak seperti "pintu" yang membantu darah untuk mengalir hanya ke satu arah. Terdapat empat injap dalam organ jantung yang normal.

Arteri koronari adalah pembuluh darah yang istimewa yang menjalar di permukaan jantung. Arteri ini menyediakan darah yang kaya akan nutrien kepada otot jantung yang bekerja keras. Penyempitan atau halangan pada arteri ini akan menyebabkan serangan jantung dan penyakit arteri koronari.

Apa itu Penyakit Jantung
Penyakit jantung merupakan satu keadaan yang menjejaskan otot-otot jantung (miokardium) dan saluran-saluran darah dalam jantung (arteri koronari). Punca penyakit jantung yang paling lazim adalah penyempitan arteri koronari iaitu satu proses yang dikenali sebagai Aterosklerosis.

Aterosklerosis bermula apabila lapisan bahagian dalam arteri koronari telah rosak atau cedera akibat bermacam- macam faktor termasuk merokok, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan sesetengah penyakit seperti diabetes.

Kolesterol dan bahan-bahan lain akan berkumpul dalam dinding arteri untuk membentuk plak. Semakin lama, semakin banyak plak yang akan terbentuk. Akhirnya, plak ini akan menyempitkan ruang dalam arteri, menghalang bekalan darah serta mungkin akan pecah untuk membentuk darah beku.

Jika darah beku menghalang pengaliran darah ke jantung anda, maka anda akan mendapat serangan jantung; jika ia menghalang pengaliran darah ke otak anda, maka anda akan mendapat strok.

Kehadiran plak sahaja, walaupun jika ia tidak pecah, masih boleh membahayakan. Plak akan menyempitkan saluran darah dengan teruk hingga anda akan mempunyai simptom-simptom penyakit koronari jantung (CAD) seperti angina (sakit dada).

Jika tidak dirawat dengan betul, anda mungkin akan mendapat serangan jantung atau kegagalan jantung kongestif (kegagalan jantung).

Punca Penyakit Jantung
Risiko untuk anda menghidap penyakit jantung adalah tinggi terutama sekali jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit jantung atau anda sudah berusia lanjut.

Jantina turut merupakan faktor: lazimnya, kaum lelaki akan berisiko tinggi untuk menghidap penyakit jantung manakala risiko bagi wanita pula akan meningkat tinggi selepas menopaus. Malangnya, anda tidak boleh mengubah faktor-faktor risiko ini.

Di sini terdapat beberapa faktor risiko yang masih boleh anda ubah: merokok, gaya hidup tidak aktif (sedentari), tabiat makan yang tidak sihat, tekanan dan berat badan yang berlebihan atau obes.

Tanda-tanda Serangan Jantung
Tidak semua serangan jantung akan berlaku secara mengejut dan sangat menyakitkan.
Sesetengahnya bermula dengan sangat perlahan serta kurang menyakitkan atau hanya rasa kurang selesa hingga ramai yang tidak sedar bahawa mereka sedang mengalaminya dan ini menyebabkan mereka gagal untuk mendapatkan bantuan perubatan dengan segera.

Berikut adalah simptom-simptom majoriti yang menandakan anda sedang mengalami serangan jantung:
- Tekanan yang tidak selesa, rasa sesak, penuh atau sakit di bahagian dada yang berlanjutan selama lebih daripada beberapa minit, atau sakit yang hilang dan datang semula.
- Sakit atau ketidakselesaan pada bahagian- bahagian lain di bahagian atas badan.
- Pendek nafas dengan atau tanpa rasa ketidakselesaan pada bahagian dada.
- Berpeluh sejuk, rasa loya atau pitam.

Gejala dan Tanda Amaran Serangan Jantung
Satu daripada tanda amaran adalah Serangan Iskemia Sementara (TIA) - iaitu satu gangguan sementara bekalan darah ke bahagian tertentu otak.

TIA adalah serupa seperti strok tetapi ia hanya berlaku untuk jangka masa yang lebih pendek sebelum terus hilang dengan tidak meninggalkan sebarang kesan kekal yang ketara.

TIA menandakan satu serangan strok yang betul mungkin akan berlaku tidak lama lagi. Jika anda mempunyai satu atau lebih daripada simptom-simptom berikut, maka anda perlu segera mendapatkan bantuan perubatan:
- Rasa kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah bahagian badan
- Kesukaran untuk bertutur atau memahami pertuturan, gagap
- Penglihatan menjadi kabur secara tiba-tiba
- Kesukaran untuk berjalan, rasa pening, hilang keseimbangan atau koordinasi secara tiba-tiba
- Sakit kepala yang teruk secara tiba-tiba tanpa sebarang sebab
- Masalah ingatan atau kekeliruan

Bagaimana Mencegah Penyakit berkaitan Jantung.
1- Apakah sejarah keluarga anda?
Ketahui sejarah perubatan keluarga anda dan beritahu doktor anda tentang sebarang risiko-risiko keturunan.
Jika salah seorang daripada datuk nenek, ibu bapa atau adik-beradik anda pernah mengalami penyakit jantung sebelum berusia 55 tahun, maka anda turut cenderung untuk turut mendapatnya.
Mengetahui maklumat sedemikian akan membantu anda mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk mencegahnya daripada berlaku.

2- Di meja makan
Makan diet yang seimbang yang terdiri daripada buah- buahan, sayur- sayuran, bijirin penuh dan makanan tenusu rendah lemak. Amalkan masa makan yang tetap pada setiap hari dan elakkan dari terlebih makan.
Kesemua lemak mempunyai kalori yang tinggi dan akan meletakkan anda berisiko untuk mendapat kolesterol darah tinggi, jadi anda perlu mengehadkan pengambilannya. Jika anda mesti mengambil lemak, maka pilihlah lemak-lemak tidak tepu. Elakkan makanan yang mengandungi lemak tepu, asid lemak trans dan kolesterol.

3- Serat larut: senjata rahsia anda
Serat larut (terutama sekali beta-glukan) adalah karbohidrat kompleks yang sangat bermanfaat terutama sekali untuk kesihatan jantung. Ia telah terbukti secara klinikal akan menurunkan kolesterol darah dengan menggabungkan asid-asid hempedu (yang mengandungi kolesterol) di dalam saluran pencernaan anda.

Mereka kemudiannya akan dikeluarkan bersama bahan buangan badan anda dan ini bermakna kolesterol akan diserap dengan lebih sedikit ke dalam aliran darah anda. Ini akan membawa kepada paras kolesterol darah yang lebih rendah serta mengurangkan risiko penyakit jantung.
Oleh kerana serat larut (seperti beta-glukan) merupakan makanan rendah GI (Indeks Glisemik), maka ia juga berkesan untuk menstabilkan paras glukosa darah anda.

Ini dilakukan dengan memperlahankan pencernaan serta penyerapan agar glukosa (gula) akan mengambil masa yang lebih lama untuk memasuki aliran darah anda. Ini akan mengelakkan paras glukosa darah naik secara mendadak.

Oleh yang demikian, memasukkan lebih banyak serat larut serta makanan karbohidrat rendah GI ke dalam makanan seharian anda adalah suatu langkah yang bijak. Sesetengah contoh makanan rendah GI termasuklah barli, beras perang, muesli dan roti rendah GI yang telah dirumus khas.

4- Mengawal tekanan darah
Tahukah anda bahawa hanya enam daripada setiap 100 rakyat Malaysia dapat mengawal tekanan darah mereka? Jangan biarkan diri anda menjadi salah seorang daripada 94 orang tersebut! Periksa tekanan darah anda sekurang- kurangnya dua kali setahun dan pastikan anda mengekalkannya pada paras yang rendah (130/80 mmHg atau lebih rendah) tanpa mengira usia anda.

5- Awasi berat badan anda
Lakukan senaman selama sekurang- kurangnya 45 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu (atau lebih baik lagi, lakukannya pada setiap hari).

Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes, maka anda perlu lebih kerap melakukan senaman (dan dalam tempoh yang lebih lama) untuk menurunkan berat badan yang berlebihan.

Secara amnya, anda perlu mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) pada lebih kurang 18-23 kg/m2. Bagi orang Asia, ukur lilit pinggang yang kurang dari 90sm bagi lelaki dan kurang dari 80sm bagi wanita adalah ideal.

6- Berhenti merokok
Tembakau dalam rokok akan mengakibatkan saluran darah anda menjadi sempit serta mengurangkan bekalan darah ke jantung dan organ-organ penting anda yang lain. Jadi, jika anda merokok, hentikannya sekarang demi kebaikan jantung anda.

7- Jangan lupa berjumpa doktor!
Dan akhir sekali, jangan terlepas daripada menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan anda. Pemeriksaan yang kerap akan dapat mengesan serta merawat kes-kes awal penyakit jantung dan diabetes.

Semoga saya dan anda lebih berhati-hati, mengamalkan cara hidup sihat dan positif dalam pengambilan makanan dan mengamalkan senaman selepas ini untuk merealisasikan kesihatan jantung, seterusnya tidak menyumbang kepada statistik kematian awal disebabkan peyakit berkaitan jantung.

Sekian Terima Kasih
Sumber : Pelbagai sumber dari Internet.

No comments:

Post a Comment