Tuesday, March 10, 2009

Keberanian Rasulullah.

Bersempena dengan sambutan hari kelahiran nabi Muhammad s.a.w yang disambut semalam, eloklah kita hayati suatu riwayat tentang keberanian Rasulullah s.a.w. Semoga kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran, disamping itu dapatlah kita mencontohi keberanian baginda dalam meneruskan perjuangan.

Sesungguhnya pemimpin umat islam itu bukan sahaja sebagai ketua ugama bahkan juga merupakan seorang pahlawan yang gagah berani dan tiada taranya. Dalam peperangan dan pertempuran bukan sahaja Rasulullah s.a.w mengatur taktik dan strategi sebagai seorang panglima atau jeneral, bahkan bagindalah yang sering maju ke barisan hadapan bertentangan muka dengan musuh.

Saidin Ali bin Abu Talib r.a. adalah pahlawan yang selalu turut berperang disamping Rasulullah s.a.w. Beliau pernah menceritakan bertapa beraninya Rasulullah, di dalam suatu peperangan, katanya " Baginda sangat berani mendekati kubu-kubu petahanan musuh. Sewaktu tentera Islam menghadapi serangan dalam peperangan Hunain dan banyak pejuang-pejuang yang lari, baginda sendiri tidak keluar dari barisan pertahanannya bahkan mengatur arahan dari atas kuda di tengah-tengah serbuan musuh. Akhirnya baginda berjaya mengumpulkan pasukan yang berpecah-belah itu untuk meneruskan perlawanan."

Sewaktu tentera Islam terkepung dalam peperangan Uhud, Rasulullah s.a.w. sendiri mendapat luka, sahabat serta musuhnya menyangka baginda sudah tewas. Maka pada saat-saat yang mencemaskan itu, baginda memaksa dirinya tampil ke depan seraya berteriak : Disini Muhammad! Rasulullah! Aku masih hidup!."

Pernah suatu malam penduduk kota Madinah menjadi gempar sebab terdengar riuh-rendah musuh yang cuba menyerang kota Madinah. Pasukan tentera Islam segera berkejar ke tempat tersebut dan mendapati Rasulullah telah berada lebih dahulu disitu. Baginda berkata kepada pasukan yang datang itu : "Musuh telah lari, keadaan telah aman, mari kita pulang."

No comments:

Post a Comment