Assalamu`alaikum wr wbk
Hadis R. Muslim mengingatkan kita pesanan Rasulullah SAW: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan solat bila mereka telah berusia 7 tahun, dan pukullah jika meninggalkannya bila mereka telah berumur 10 tahun, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur.”
Mengapa 7 tahun?
Mengapa tidak 5, 12, 15 atau 21 tahun?
Mengapa tentang “solat”? Mengapa tidak lain yang lebih “ringan”?
Pasti ada sebab-sebab yang afdhal sebagai dalil mutlak yang memerlukan kita memulakan anak-anak solat dari usia 7 tahun. Pasti ada sebab-sebab agung bahawa, bila berusia 7 tahun, anak sudah mampu melakukan solat sebagai penghayatan hariannya. Pasti sebab-sebab itu telah didasarkan kepada sifat-sifat semula-jadi bagi manusia yang mampu diperolehi pada usia 7 tahun. Jika tidak, anjuran Hadis ini boleh membuat ramai ibubapa merasa gelisah dengan kerungsingan: “Macam mana ni, nak bagi anak solat pada usia 7 tahun! Ia masih budak-budak lagi … apa!”
Insya-Allah, artikel ini akan menerangkan dalil-dalilnya supaya kita yakin dan bersyukur bahawa anak-anak yang telah mula melakukan solat harian dari usia 7 tahun akan mudah dibesarkan dengan penuh barakah dari segi ilmu, akhlak, ibadah dan kebajikannya.
MENGAPA “SOLAT”?:
Solat adalah tiang agama. Solat perisai hidup. Solat mengajar anak menjaga masa (waktu-waktu solat). Solat memberi peluang untuk sujud dan berdoa. Solat mengindahkan kehidupan kerana wajah indah adalah “taqwa”.
Solat juga memerlukan kita mempunyai beberapa hakikat dan sifat tertentu, khususnya:
KITA FAHAM: Faham bahawa kita beragama Islam, dan sebab kita dijadikan adalah untuk sujud ke hadrat Ilahi. [Surah Adz-Zaariyat 51 Ayat 56: “Ku ciptakan jin dan manusia itu hanyalah supaya mereka sujud (memuja) kepada-Ku”]
KITA YAKIN: Yakin kerana kita telah “faham”, dan “keyakinan” adalah asas keimanan.
KITA RELA: Bila sudah faham dan yakin, kita sedar “merelakan diri”, sedia dan terima.
KITA AZAM: Dengan rela, faham dan yakin, kita mudah ceria, berminat dan “berazam”.
KITA SYUKUR & JAGA: Kerana begitu azam kita pasti dapat mengecap keindahan solat sehingga kita rasa amat syukur dan berusaha menjaga ibadah dan kehidupan kita dengan membanyakkan yang “maaruf” dan menghindarkan diri kita dari yang “mungkar”.
Sekiranya sifat-sifat ini diperlukan agar anak faham dan senang dimulakan bersolat dari usia 7 tahun, mampukah ia membina sifat-sifat serta hakikat-hakikat itu pada usia 7 tahun?
Ya, boleh kerana dari ilmu kajian sains, tahap pembinaan jentera asas akal (otak-saraf manusia) telah matang mencapai lebih dari 95% pada usia 7 tahun. Pencapaian tahap pembentukan inilah yang memberi anak kita landasan untuk mampu berfikir, memilih, merasa yakin, berazam, dan mudah mirip untuk merasa syukur serta menjaga kebaikan dirinya, insya-Allah.
Dalil2 Al-Quran
Dan segala yang diciptakanNya dibuatNya dengan sebaik-baiknya, dan dimula menciptakan manusia dari tanah. (As-Sajadah 32:7)
Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam rupa yang amat baik. (S At-Tiin 95:4)
Sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dari kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan, dengan kelebihan yang sempurna. (Surah Al-Israa’ 17:70)
Hai manusia! Apakah yang memperdayakan engkau terhadap Tuhan engkau Yang Pemurah? … Yang menciptakan engkau, menyempurnakan kejadiaan engkau dan membuat engkau dengan ukuran yang seimbang. .. Menurut bentuk yang dikehendakiNya, engkau disusunNya (Al-Infithar 82:6-8)
MANUSIA TELAH DIBERI ILMU & PETUNJUK
Yakin anak “harus mampu sempurna” kerana manusia (Nabi Adam a.s.) telah diajar ilmu dan disediakan petunjuk (agama dan akal):
Dalil2 Al-Quran
Dan Tuhan mengajarkan kepada Adam nama-nama benda segalanya (S. Al-Baqarah 2:31)
Maha suci Engkau. Kami tidak mengetahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Tahu dan Maha Bijaksana (S. Al-Baqarah 2:32)
Hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama ciptaan Allah, yang dijadikanNya manusia sesuai dengan agama itu (S. Ar-Rum 30:30)
Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam (S. Ali Imran S. 3:19)
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang mempergunakan akalnya (S. Ar-Rum 30:24)
Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus (S. Al-Isra 17:9)
MAMPU SEMPURNA PADA USIA 7 TAHUN
Oleh itu, kita mestilah yakin bahawa anak-anak kita, pada usia 7 tahun, seharusnya sudah mampu memperolehi sifat-sifat tingga (secara mutlak) sehingga mereka mudah:
FAHAM: Bahawa kita beragama Islam, dan faham perlunya “sujud” [S.Adz-Zaariyat 51:56]
YAKIN: Kerana kita telah “faham”, keyakinan menjadi asas keimanan.
RELA: Kerana faham dan yakin, kita “rela” serta betul-betul sedia dan terima.
AZAM: Kerana faham, yakin dan rela, kita lebih mudah ceria, berminat dan “berazam”.
SYUKUR & JAGA: Kerana azam kita mudah mengecap keindahan solat sehingga kita rasa syukur dan berusaha menjaga ibadah dan kehidupan berasaskan “maaruf nahi anil mungkar”.
SEDIKIT2 & BERTAHAP2
Tahap pencapaian pada usia 7 tahun sebenarnya mudah, lebih-lebih lagi jika kita mulakan pendidikan anak dari tahap-tahap seawal mungkin. Inilah sebabnya kita perlu adakan usaha pendidikan awal bagi kaum Muslimin dengan memanfaatkan peluang membina asas-asas pendidikan yang kukuh dari masa anak berada di dalam rahim ibunya, dan, selepas anak itu dilahirkan, mendidiknya secara sedikit-dikit, bertahap-tahap, dan secara berkesinambungan:
Sekiranya anak-anak kita dapat dididik dengan baik secara bertahap-tahap, dari awal, mereka akan mudah disempurnakan ilmu, akhlak, amalan, ibadah dan kebajikan selapas usia 7 tahun. Rajah berikut menunjukkan tahap-tahap utama proses pendidikan hinggalah usia “Akil Baligh”.
Dalam rangka proses pendidikan ini, “Akil Baligh” amat utama. Anak yang sempurna penyediaannya untuk akil baligh akan lebih selamat bila ia menjejak usia remaja. Bagi semua ini, SOLAT merupakan faktor utama, dan faktor ini perlu dihasilkan pada usia 7 tahun. Insya-Allah, bila anak sudah biasa dengan solat pada usia 7 tahun, ia akan mudah melazimkan dirinya dengan solat pada usia 10 tahun (tanpa didenda), dan, jika ini terpacak sebagai amalan hariannya, insya-Allah, Fardhu ‘Ain anak akan sempurna, dan usia remajanya penuh dengan barakah, insya-Allah.
TUJUH TAHUN & DUNIA SEKOLAH
Usia 7 tahun juga merupakan detik penting dari sudut kemasyarakatan kerana pada usia itu, anak kita sudah mula menjejak dunia persekolahan. Dalam suasana sekolah, ia seharusnya sudah mampu berturtur dengan baik, membaca, sudah hafal berbagai surah-zikir-doa, menulis, melukis, pandai menjaga diri, mempunyai berbagai ilmu berguna yang luas, bersifat baik, senang menjayakan dirinya dalam persekolahan, serta menyenangkan kehidupan ibubapanya.
Alhamdulillah, satu penyelidikan telah dibuat dengan menemui ramai ibubapa yang telah mendidik anak-anak dari kecil, dan anak-anak itu telah memperolehi kecerdikan, ilmu dan akhlak yang amat tinggi:
Pada usia 3-4 tahun mereka telah faham banyak fakta-fakta sains, bahasa, Matematik, kesihatan, protin, karbohidrat, ilmu alam, lebih dari apa yang biasa difahami oleh anak-anak yang tidak dididik dari awal.
Mereka bertutur dalam dua bahasa dengan fasih dan penuh adab serta makna. Tulisan dan lukisan mereka amat baik. Mereka mampu membaca Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, dan mampu membaca Iqra’ (III-VI) pada usia 5-6 tahun.
Perbendaharaan ilmu mereka amat luas. Mereka tahu amphibia, mamalia, nama-nama pokok, mengapa daun berwarna hijau, apa erti photosynthesis, chlorophyll, nama-nama awan, mengapa awan penting, jenis-jenis kereta, negeri, ibukota, bendera, dan banyak lagi. Hal ini tidak menjadi masalah kerana mereka berminat mempelajari berbagai bahan-bahan ilmu.
Membuat kerja-kerja rumah, termasuk membantu bibi memasak, mengemas rumah, menolong ibubapa, membasuh kereta, menyusun buku-buku di rumah, menjahit, pergi pasar, dan menolong menjaga adik-adik ~ semua ini sudah mula menjadi amalan harian.
Mereka kenal masuknya waktu solat, apa itu azan, melakukan solat, berwudhu, tahu sejadah, arah kiblat, erti saf, solat berjemaah, menghafal doa Iftitah, zikir-zikir solat, surah-surah lazim, doa-doa harian dan salawat sudah juga menjadi kegemaran mereka.
Kerana mereka berminat dan berkemampuan tinggi, mereka mampu didedahkan kepada berbagai ilmu lanjutan. Lebih banyak, lebih tinggi kemampuan mereka memahami lebih banyak ilmu-ilmu baru pada tahap yang lebih tinggi serta bidang yang amat luas dan berbagai. Proses ini dilakukan tanpa disekat oleh usia mereka. Yang penting mereka ceria, faham dan minat belajar.
Dengan pencapaian yang begitu tinggi dan luas (pada usia 5, 6 atau 7 tahun) anak-anak ini pasti akan mudah memahami apa sahaja yang bakal diajar di sekolah. Insya-Allah, mereka akan pasti mampu menjayakan diri mereka pada tahap-tahap sekolah bermula usia 7 tahun. Semua ini pula dilandaskan dengan akhlak, iman dan budi-pekerti yang baik semata-mata kerana telah dibiasakan melakukan solatnya dari usia 7 tahu. Wallahu`alam bissawab.
Moga-moga usaha kita mendidik anak-anak kita akan sentiasa diredhai dan dipermudakan Allah SWT. Amiin.
Wassalam
No comments:
Post a Comment