Tuesday, January 20, 2009

Batu Karang

PAKAR KANAK KANAK bersama Dr Norrashidah Abd Wahab
BATU karang adalah penyakit yang kerap berlaku di kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak. Sekiranya keluarga mempunyai riwayat batu karang maka kanak-kanak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit yang sama.

Batu karang berasal daripada zat mineral halus yang menjadi keras dalam jangka masa yang lama. Batu karang terhasil daripada kandungan kalsium, oxalate atau asid urik yang tinggi di dalam air kencing. Buah pinggang pula tidak dapat memastikan kandungan air yang mencukupi untuk mencairkan bahan ini, menyebabkan ia membentuk ketulan kristal yang halus dan seterusnya secara perlahan-lahan ia akan membentuk batu karang.

Oleh kerana itu, buah pinggang haruslah memastikan bekalan air yang mencukupi untuk membuang bahan yang berlebihan ini. Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat batu karang. Penyakit batu karang ini boleh berulang sekiranya pencegahan tidak diambil kira:

Kurang minum air dan dehidrasi berpanjangan

Airan dan jumlah air kencing kurang atau perlahan atas sebab tertentu sama ada saluran kencing tersumbat atau pundi kencing tidak berfungsi dengan baik.

Jumlah kandungan bahan kimia seperti kalsium, oxalate dan asid urik berlebihan.

Penyakit perubatan lain yang mengganggu proses pembentukan air kencing atau fungsi buah pinggang.

Makanan yang mengandungi paras garam, lemak, daging merah dan gula yang tinggi boleh menambah risiko penghasilan batu karang.

Tanda menunjukkan seseorang kanak-kanak itu mungkin menghidapi batu karang ialah:

Kencing berdarah

Bertambah kekerapan buang air kecil dan tidak lawas kencing

Rasa loya dan muntah

Rasa sakit ketika buang air kecil

Sakit bahagian pundi kencing atau belakang

Mendapat jangkitan air kencing

Salah satu cara bagi mencegah terhasilnya batu karang ialah dengan membuat perubahan kepada diet anak dan minum banyak air.

Galakkan mereka supaya meminum air mencukupi bagi keperluan badan untuk aktiviti harian sekurang-kurangnya setengah daripada berat badan dalam millimeter.

Minuman seperti jus limau atau lemonade adalah kaya dengan sumber sitrat yang boleh mengurangkan pembentukan batu karang. Elakkan memakan makanan yang mengandungi banyak garam. Rawat jangkitan air kencing dengan cepat.

Sekiranya batu karang tidak dirawat, lama kelamaan ia boleh mengganggu fungsi buah pinggang pesakit dan memberi kesan negatif.

Penggunaan ubat-ubatan herba haruslah dilakukan berhati-hati dan mendapat nasihat daripada pakar kerana ada herba yang berbeza mempunyai khasiat berbeza, ia mungkin boleh memudaratkan lagi keadaan pesakit.

No comments:

Post a Comment