Friday, December 19, 2008

Khutbah Jumaat

Hari in adalah yang mulia iaitu hari Jumaat, penghulu bagi segala hari, hari kebesaran bagi orang yang beriman. Alhamdulillah pada hari ini aku diberikan kekuatan dan kesihatan fizikal dan mental, seterusnya aku mendapat peluang untuk mengerjakan Solat Jumaat walaupun dalam waktu bekerja.

Dalam khutbah dari mimbar yang aku ikuti hari ini berkisar tentang pengorbanan kerana kita baru saja merayakan aidil adha, jadi tidak salah kita membincangkan tentang korban atau pengorbanan, kata Khatib yang bertugas.

Serba sedikit yang aku ingat tentang khutbah tersebut adalah mengenai pergobanan Siti Hajar, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang mana kita hari ini mungkin tidak dapat mengikut jejak langkah tokoh-tokoh yang hebat ini. Malah anak muda kita hari ini lebih rela terkorban dengan "berjihad" sebagai Mat Rempit.

Tetapi, yang lebih menarik khutbah hari ini dibawakan oleh khatib yang begitu prihatin dengan kemungkaran dan kemaksiatan. Sesekali beliau akan menghuraikan dengan ideanya sendiri apabila melibatkan perkara yang selalu berlaku disekeliling kita. Disamping itu juga beliau kerap tersentuh dan sebak apabila perkara-perkara seumpama disebutkan. Beliau juga menasihati agar kita sama-sama memelihara kampung atau taman perumahan kita dari gejala maksiat kerana bala Allah tidak mengenal pemaksiat atau tidak.

Sambil menghayati khutbah yang dibacakan aku juga terfikir tentang kelengkapan atau adab kita semasa ke masjid untuk mengerjakan solat. Sesungguhnya adalah tidak molek kita ke rumah Allah dengan berpakaian yang tidak sesuai.  Sudahlah mengenakan T-shirt yang bertulis dibelakangnya lepas tu duduk pula di saf depan. T-shirt yang bertulis dibelakang itu akan menganggu atau mengurangkan tumpuan orang yang disolat dibelakang kita. Mustahil tidak mampu menyediakan pakaian yang sesuai sedangkan kita mampu untuk memiliki kemudahan peribadi yang lain yang lebih mahal harganya seperti handphone, kereta, motorsikal dan sebagainya. Mungkin kita tidak berminat dengan baju melayu tetapi sekurang-kurang pakailah t-shirt yang tidak bertulis.

Aku juga bermuhasabah diri kerana disamping aku melihat kekurangan orang, sebenarnya aku juga punyai kekurangan. Dari dulu hingga sekarang aku gagal untuk menggunakan kopiah sebagai penutup kepala ketika menunaikan solat diluar rumah atau ketika bermusafir. Ini sebenarnya perkara kecil yang dipandang ringan. Harus diingatkan sedikit- sedikit akan menjadi bukit, perkara kecil jika diulangi dengan kerap akan menjadi besar. Pergerakkan untuk menyelak rambut semasa sujud ketika solat mungkin akan membatalkan solat kita. 

Aku berazam akan cuba memperbetulkan sedikit demi sedikit kepincangan yang ada dimasa depan agar hari ini yang menjadi kenyataan akan lebih baik dari hari semalam yang pergi dengan seribu kenangan atau pengalaman dan kita menanti kedatangan hari esok yang belum pasti.....

Sekian.

No comments:

Post a Comment