Sunday, May 31, 2009

Hari Tanpa Tembakau Sedunia


Hari Tanpa Tembakau Sedunia 1997

HARI TANPA TEMBAKAU SEDUNIA pada tahun ini yang bertemakan "Bersatu Untuk Dunia Bebas Tembakau" akan dijayakan pada 31 Mei 1997. Tema pada kali ini amat bermakna sekali memandangkan dunia sejagat sedang menghadapi satu ketika yang amat genting dalam menangani masalah yang berkaitan dengan merokok, khususnya masalah-masalah kesihatan yang teruk serta juga penagihan terhadap tembakau.

Walaupun sejak empat (4) dekad yang lalu gejala-gejala merokok sudah diketahui umum, namun ramai di antara ahli masyarakat masih samar-samar tentang hakikat tersebut. Ini sebahagian besarnya adalah hasil daripada aktiviti-aktiviti industri tembakau yang begitu pesat menonjol keghairahan merokok sebagai satu gaya hidup yang berjaya dan sekaligus dapat menarik banyak langganan di kalangan orang dewasa dan kebelakangan ini anak-anak remaja serta golongan wanita. Akhirnya tabiat merokok menjadi satu perkara yang begitu lumrah di dalam masyarakat kita sehinggalah hari ini.

Sungguhpun dalam jangkamasa yang sama, berbagai bukti saintifik telah dapat dikumpulkan, tetapi ianya tidak tersebar luas untuk mengubah budaya merokok di kalangan masyarakat. Malah para penggubal dasar sendiri tidak menampakkan kesungguhan untuk bertindak mengurangkan tabiat merokok berasaskan kepada bukti-bukti tersebut. Akibatnya pada pertengahan abad ke-20 di negara-negara maju sahaja, produk-produk tembakau telah membunuh lebih daripada 60 juta manusia. Lebih ramai lagi nyawa terkorban jika diambilkira negara membangun yang lain termasuklah negara Malaysia.

Kecenderungan ini diramalkan akan berterusan tanpa sebarang tindakan yang berkesan diambil. Adalah dianggarkan bahawa dalam masa tiga (3) dekad lagi lebih kurang 10 juta manusia akan mati setiap tahun akibat produk-produk tembakau dan 70% daripada kematian ini berlaku di negara-negara membangun. Mengikut Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. H. Nakajima, kematian yang sia-sia ini bolehlah dianggap sebagai satu keadaan kecemasan pada peringkat global dan ianya berkehendakkan kepada satu tindakan yang bukan sahaja berkesan tetapi pada kadar yang amat segera sekali.

Ini bermakna tidak seorang pun yang terkecuali dalam mengambil langkah untuk menghentikan budaya merokok ini di kalangan masyarakat. Gandingan bahu di antara individu, organisasi dan masyarakat umumnya amatlah diperlukan sekiranya hasrat untuk mencapai sebuah dunia yang bebas tembakau ingin dijayakan. Oleh yang demikian, tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada kali ini amat bererti sekali kepada kita semua.

Sayugia dinyatakan bahawa menangani masalah tembakau bukannya satu perkara yang mudah. Ini memandangkan bahawa industri tembakau itu sendiri mempunyai wang ringgit dan pengaruh yang amat besar kepada banyak kerajaan dan penggubal-penggubal dasar, khususnya di negara-negara membangun. Mereka membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menaja dan mengiklankan barang-barang jenama tembakau secara terang-terangan dan cuba mendapat satu imej positif daripada aktiviti-aktiviti tersebut. Keadaan ini mengelirukan lagi fahaman umum tentang bahaya merokok. Oleh itu tidak hairanlah misalnya aktiviti sukan di negara ini masih ditaja oleh syarikat-syarikat tembakau dengan hasrat membentuk satu pengaruh bahawa merokok itu sealiran dengan aktiviti-aktiviti bersukan. Sedangkan gabungan kedua-dua aktiviti ini sebenarnya amatlah bertentangan antara satu sama lain: merokok memusnahkan kesihatan, bersukan membina kesihatan. Perkara ini telah ditekankan dengan jelasnya pada Hari Tanpa Tembakau Sedunia tahun lalu yang bertemakan "Sukan dan Kebudayaan Tanpa Tembakau", tetapi kesannya di Malaysia tidak ketara.

Dalam hal ini, Pusat Racun Negara mengambil pertimbangan yang agak berat dan sedia bergabung dengan mana-mana pihak untuk menjayakan matlamat Hari Tanpa Tembakau Sedunia. Ia memerlukan perkongsian tanggungjawab. Salah satu aktiviti utama yang akan dianjurkan oleh PRN adalah Telekempen Anti-Merokok yang akan dilaksanakan mulai 1 Mei 1997 ini untuk sebulan sehinggalah Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei 1997. Tujuan telekempen ini adalah untuk membantu mereka-mereka yang merokok berhenti daripada tabiat yang sia-sia ini. Perokok ataupun mereka-mereka yang berminat bolehlah menelefon PRN melalui talian 800-8099 pada waktu pejabat. Selain daripada itu, maklumat-maklumat lanjut disediakan melalui Laman Internet PRN http://prn.usm.my.

No comments:

Post a Comment