Monday, March 28, 2011

Jawatan satu amanah



Jawatan satu amanah, bukan anugerah. Jika kita ingin melihat sejauhmana benarnya kata-kata pemimpin yang amanah, lihat harta, sikap dan ibadah khususnya selepas menyandang jawatan. Kalau hartanya semakin susut (atau hanya bertambah sedikit berdasarkan keperluan), kalau akhlaknya semakin halus dan menarik, kalau ibadah khususnya (solat malam, baca Al Quran, doa, munajatnya) semakin lebat… Ya itu petanda dia memperalatkan jawatannya untuk melaksanakan amanah. Tetapi jika sebaliknya, itu petanda ia telah “diperalatkan” oleh jawatan yang dianggapnya satu anugerah.

Bila satu jawatan atau tugasan diberikan kepada seseorang yang bukan ahlinya, tunggulah saat kebinasaannya. Begitu, antara lain maksud hadis Rasulullah SAW. Hati kita tertanya-tanya, siapakah yang bukan ‘ahlinya’ itu dan apakah pula kebinasaan yang bakal berlaku? Persoalan ini menjadi suatu yang sangat kritikal untuk ditangani justeru sedang berlaku kini pelbagai kebinasaan, sama ada yang berbentuk rohani mahupun fizikal.

Keruntuhan akhlak bukan sesuatu yang dapat dinafikan lagi. Begitu juga dengan ‘keruntuhan’ tanah, jambatan, lebuh raya dan kebocoran syiling atau atap bangunan yang hebat-hebat. Secara mudah, kita boleh katakan inilah kebinasaan yang telah terjadi dan sekali gus ini juga sebagai petanda semakin ramai yang ‘bukan ahli’ sedang memegang jawatan atau tugasan penting dalam masyarakat.

Ketika mencadangkan agar nabi Musa AS diterima bekerja dalam keluarga mereka, seorang anak gadis nabi Syuaib AS telah meletakkan dua ciri utama sebagai pertimbangan atas usulnya itu – kekuatan (Al Qawwi) dan amanah (amanah). Hal ini diabadikan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Sesungguhnya orang yang paling baik untuk diberikan kerja ialah orang yang kuat lagi amanah.” Al Qasas 26.

Kekuatan dalam konteks terkini ialah berilmu dan mempunyai kepakaran dalam bidang kerja yang berkenaan. Manakala amanah pula ialah soal keikhlasan, kejujuran dan ketelusan dalam melaksanakan pekerjaan atau tugasan. Individu yang mempunyai kedua-dua ciri inilah yang dikatakan ‘ahli’ dalam pekerjaan tersebut.

Apabila lebuh raya retak, syiling bangunan bocor atau tanah runtuh, itu menunjukkan sama ada pengusaha, jurutera, arkitek atau juru ukur bahan bagi projek tersebut tidak mempunyai sifat al qawwi yakni kurang ilmu atau kepakaran dalam melaksanakan kerja mereka. Atau boleh jadi, mereka memang pakar dan berilmu, tetapi mereka bukan al amin kerana kurang amanah bila melakukan rasuah atau penyelewengan secara senyap-senyap. Mereka ini hakikatnya bukan ‘ahli’ untuk projek tersebut.

Sejak dari dahulu lagi usaha melahirkan orang yang jujur lebih sukar berbanding melahirkan orang yang bijak. Kebijaksanaan boleh diukur dengan ijazah dan kelulusan, tetapi sikap amanah adalah soal dalaman yang begitu maknawi sifatnya. Namun hanya jauhari mengenal manikam. Justeru, para pemimpin, guru, majikan, ketua dan ibu-bapa mestilah menjadi ‘jauhari’ yang mengenal sifat al amin dan al qawwi orang bawahannya.

No comments:

Post a Comment