Oleh NORAINON OTHMAN
BAGI penggemar udang, kunjungan ke Restoran Mee Udang D’ Tanjung di Sunway Batu Caves pasti membuka selera kerana kebanyakan menu berasaskan hidupan yang mempunyai keenakan rasa tersendiri itu.
Selain menu istimewanya Mi Udang yang dijadikan nama restoran dan digabungkan D’Tanjung membawa maksud di Pulau Pinang, masakan lain mengandungi hidupan laut bertubuh melentik itu ialah cucur udang, char kuetiau, nasi goreng istimewa D’Tanjung dan nasi goreng makanan laut.
Menggunakan udang laut yang dijamin kesegarannya, mi udang ini adalah air tangan Azimah Abdul Rahman, 52.
Pemilik restoran itu berkata, mi udang sememangnya popular di utara Semenanjung, terutama di kalangan masyarakat Cina Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, cara masakan mi udang di restorannya tidak sama dengan gaya masakan Cina iaitu kuah sup udang yang turut diletak sos cili.
“Mi Udang di sini dimasak mengikut selera Melayu menggunakan kuah seperti mi rebus tetapi tidak dibubuh daging kerana ada kaum bukan Melayu tidak makan daging. Antara bahan yang digunakan ialah stok udang dan udang laut segar.
“Bila sebut mi bandung, mi rebus atau mi Jawa, ramai mengetahuinya tetapi di Kuala Lumpur, masih ramai belum kenal mi udang, khususnya mereka yang bukan berasal dari utara. Jadi, pembukaan restoran ini adalah satu cara mempopularkan menu berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mi udang Sungai Dua antara yang terkenal di Utara seperti kehebatan mi bandung Muar atau sate Kajang, namun antara satu kedai dengan kedai lain, rasa masakan tidak sama kerana bergantung kepada resipi yang digunakan serta air tangan pembuatnya.
“Resipi ini saya peroleh daripada ibu (Datin Aishah Bakar, 73). Kalau balik ke Pulau Pinang dan berkumpul bersama keluarga, emak akan memasak resipi istimewa ini, terutama pada Aidilfitri,” katanya.
Harga semangkuk mi udang ialah RM6, manakala mi udang istimewa mengandungi lebih banyak udang ialah RM9.
Selain mi udang, Ayam Tok Dah antara resipi istimewa bagi lauk nasi campur di restoran itu. Masakan berkenaan adalah resipi ibu mentuanya yang popular dengan panggilan Tok Dah (sudah meninggal dunia) dan digemari ahli keluarganya.
Masakan berkenaan kelihatan seperti resipi tradisional masakan Melayu, rendang. Bagaimanapun, ia sebenarnya campuran bahan masakan kari dan rendang yang turut dienakkan dengan campuran kacang tanah, lengkuas dan serai.
Biasanya cucur udang dimakan dengan kuah sos sebagai pencicah, namun di restoran Mee Udang D’Tanjung, kuahnya adalah kuah kacang dan dilengkapi tauhu dan timun. Cucur udang dan mi udang disediakan untuk hidangan petang.
Restoran selera utara itu menyajikan nasi goreng istimewa D’Tanjung mengandungi tiga ekor udang goreng tepung, keropok ikan dan sos cili Siam.
“Bagi penggemar udang, mungkin timbul kebimbangan jika makan terlalu banyak hidupan laut itu, kolesterol dalam tubuh tinggi hingga menjejaskan kesihatan.
“Untuk itu, kami menawarkan air jus sihat yang dicipta sendiri bagi ‘memotong’ kolesterol akibat banyak makan udang. Jus ini dibuat daripada batang saderi, epal dan timun,” katanya.
No comments:
Post a Comment